Hidup kita mesti ada rentak, tidak kira apa pun yang kita
lakukan, kita mesti tahu di mana nak memecut dan bila harus memperlahankan
rentak dan menyimpan tenaga macam mengayuh basikal.
Basikal racing jenama
Mazona Shimano Durace/Ultegra/105 dengan tayar tubless dan padel sarung/sangkar
jenama Shimano 600 yang orang dah tak pakai. Menggunakan fork carbon fiber
serta guna handel leper. Hub zipp emas dan tayar tubless. Mazona Shimano ini
telah dijual.
Hobi mengayuh basikal ada falsafah yang boleh menjadi
pegangan hidup kita. Rahsia ini tidak tercungkil jika kita tidak perasan bahawa
mengayuh dan hidup ada persamaan. Untuk mengayuh basikal kita perlu mampu
imbangkan badan. Untuk meneruskan hidup yang sempurna kita harus mampu
imbangkan fokus kita. Untuk maju dalam kerjaya dan perniagaan kita harus mampu
membuat keputusan yang seimbang. Untuk menjadi pemimpin juga kita perlu
imbangkan perwatakan kita.
Mengayuh basikal mengajar kita supaya mengayuh dengan
seimbang antara kaki kanan dan kaki kiri. Tangan juga perlu seimbang antara
tangan kiri. Tetapi ada masanya kita akan mengurangkan pegangan tangan salah
satu tangan. Kadang-kadang kita mampu mengayuh basikal dengan melepaskan kedua
tangan.
Begitu juga dalam kehidupan. Cakap-cakap orang yang baik dan
buruk kita harus mampu membuat tindakan yang seimbang. Jika kita condong
sebelah pihak sahaja maka kita akan mengayuh dengan sebelah kaki sahaja. Ada
juga yang mempunyai 'skill' untuk mengayuh sambil 'lepas tangan'. Jika, kita
telah mempunyai bakat dan kemahiran dalam satu-satu keadaan kita mampu membuat
keputusan secara 'lepas tangan' juga tetapi haluan hidup tetap lurus. Kita
tidak tersungkur. Basikal tidak rosak dan kehidupan kita tidak rosak.
Mengayuh basikal juga perlua ada rentak. Ada masa kita kayuh
santai ada masa ketika melintas lampu isyarat kita kena pecut lebih laju. Ada
masa kita terpaksa mengayuh selaju-lajunya kerana telah ditinggal jauh oleh
kawan atau dkejar anjing gila. Kalau kita tersangkut antara mak lembu dengan
anak lembu apa rentak nak pakai. Kita bukan nak buat apa-apa pun katt anak
lembu tu, tapi mak lembu yang berada di seberang jalan tak percaya kan kita.
Rentak apa nak pakai kalau bukan rentak seribu.
Begitu juga dengan kehidupan. Bukan semua keputusan dan
tindakan kita perlu buat segera dan pantas. Ada keputusan perlu betul-betul
cepat kalau tidak rugi. Ada pula keputusan kita perlu buat dengan perlahan dan
tenang supaya tidak rugi puluh atau ratus ribu.
Basikal adalah sukan individu. Kita tidak perlukan 22 orang
untuk memulakannya macam bola sepak. Kita juga tidak perlukan tempat khas untuk
mengayuh macam main ping-pong. Kita boleh kayuh bila-bila kita selesa. tak
boleh kayuh pagi, kayuh petang. Tak boleh petang kita kayuh malam. Kalau kita
tak mampu nak kayuh belah malam (mungkin kita ada benda lain nak kayuh) kita
boleh kayuh waktu subuh-subuh, terus ke surau.
Begitu juga kemampuan kita untuk bersaing. Kita tidak boleh
terlalu bergantung pada satu-satu orang atau satu-satu cara atau satu-satu
tempat. Bila berubah keadaan sekeliling kita, kita boleh ikut berubah.
Perlu diingat, jarak perjalanan serta tempoh kayuhan yang
lama akan membuatkan kita letih dan jemu, jadi adalah penting untuk kita
memiliki tempo yang boleh dijadikan panduan bagi memastikan kita tidak terlalu
ketinggalan daripada pengayuh yang lain.
Dalam kehidupan kita mesti ada rentak juga. Ada hari dan masa kita perlu bergerak dengan pantas sepanjang masa supaya kita tidak
ketinggalan. Ada ketika kita perlu perlahankan rentak kita supaya kita tidak
meninggalkan kawan-kawan dan kawan-kawan mahu terus berkawan.
Dalam mengayuh kita perlu tetapkan sasaran. Berapa jarak
kita nak kayuh. Mampukan kita mangayuh jarak tersebut. Mampukan mental dan
fizikal kita menempuh laluan tersebut. Cukupkah bekalan yang kita bawa, ada air
dan ada pam dan tiub simpanan. Adakah kita nak pergi mengayuh dan balik naik
lori.
Begitu juga hidup kita. Kita perlu tahu apa yang kita hendak
dalam hidup kita. Mampukah kita mencapai cita-cita kita. Cukupkan bekalan dan
persediaan kewangan dan masa. Macam mana kalau tiba-tiba kita hilang fokus dan
minat.
Berbasikal boleh mengubah hidup kita. Kita perlu cari
caranya dan sesuaikan dengan diri kita.
Tetapi ada kalangan kita yang telah berbelas malah berpuluh
tahun mengayuh tetapi gagal mengubah kehidupan, kenapa? Sama-sama kita mencari
jawapan untuk diri kita sendiri. Kuncinya adalah kita perlu bertanya kepada
diri kita. Tetapi apakah soalan yang kita perlu tanya pada diri kita? Soalan
tersebut, juga kita perlu bertanya kepada diri kita.
Seperti kata Lence Armstrong “It’s not about the bike”. Ini
bukan sekadar cerita basikal tetapi 'It’s about never give up'.
No comments:
Post a Comment