Basikal ada macam-macam jenis dan harganya juga ada
macam-macam peringkat. Orang yang mengayuh ada macam-macam kategori. Ada yang
tak hiraukan apa basikal yang dikayuh, yang penting seronoknya mengayuh. Ada
yang amat pentingkan basikal, kalau nak kayuh mesti kayuh basikal yang mahal.
Kalau tengok basikal yang murah langsung tak ada selera nak mengayuh.
Bagi mendapatkan sebuah basikal pun ada macam-macam cara.
Ada yang mahukan basikal percuma sahaja. Ada yang sanggup bayar RM50 sahaja.
Ada juga yang sanggup bayar sampai RM5 ribu hingga RM15 ribu untuk sebuah
basikal. Itu pasal harga yang orang sanggup bayar untuk sebuah basikal.
Sekarang mari kita pandang dari sudut lain pula.
Bila kita mengayuh basikal maksudnya kita mahu bersukan,
bersenam dan rekreasi. Tujuannya yang tersirat adalah untuk menjaga kesihatan
tubuh badan. Kalau semata-semata nak mengayuh untuk bersukan, bersenam dan
berhibur kita hanya dapat kulitnya sahaja. Inti kepada mengayuh iaitu
mendapatkan kesihatan dan kecergasan yang baik untuk tubuh badan dan akal
fikiran kita.
Mungkin ada yang akan mempertikaikan, betul ke, berbasikal
boleh menjadikan kita sihat dan dapat menyembuhkan penyakit. Ramai yang
merasakan tidak logik apabila dinyatakan bahawa kita boleh berubat dengan
basikal. Kalau basikal boleh mengubat kita, tidak perlu kita berjumpa doktor.
Kerajaan pula tidak perlu membazir membina hospital dan klinik serta melatih
doktor, pembantu perubatan dan jururawat. Akan lebih banyak tumbuhnya
kedai-kedai basikal berbanding klinik. Kerajaan dikehendaki menyediakan kedai
basikal kerajaan berbanding klinik desa. Akan lebih banyak tumbuh kedai basikal
swasta berbanding klinik swasta.
Persoalan diatas saya biarkan masing-masing jawab ikut
pengalaman masing-masing.
Kita berbalik kepada 'harga yang orang sanggup bayar untuk
sebuah basikal'. Harga tersebut adalah harga yang orang sanggup bayar supaya
mereka tidak dihampiri oleh penyakit-penyakit yang biasa kita dengar.
Mudah katanya begini, bagi mereka yang sanggup bayar RM2
ribu untuk sebuah basikal bermakna mereka sanggup bayar RM2 ribu supaya mereka
jadi sihat dan tidak dihampiri oleh penyakit-penyakit seperti yang biasa kita
dengar. Lebih baik bayar RM2 ribu untuk membeli basikal supaya kita jadi sihat
daripada kita membayar RM2 ribu untuk berubat penyakit-penyakit seperti yang
biasa kita dengar.
Tetapi kalau dah beli basikal sampai RM2 ribu, tetapi kayuh
2 bulan sekali. Macam mana nak jauhkan diri dari penyakit-penyakit. Kalau nak
berubat dengan basikal kenalah mengayuh sampai berpeluh bukan macam makan ubat
lepas makan boleh baring dan tunggu kesan ubat meresap. Kalau beli basikal
untuk menjadi sihat dan cergas kenalah keluar mengayuh sampai peluh. Kalau
mengayuh 'jalan-jalan makan angin' lepas tu singgah kedai mamak makan roti
canai dan teh tarik sambil berharap menjadi bertambah sihat dengan cara begitu.
Akan bertambah cepat penyakit-penyakit datang. Membazir saja beli basikal
sampai RM2 ribu.
Lebih baik pergi berlari atau berenang atau sewa kayak.
Jumat duit, boleh tambah pelaburan dalam ASB.
Berlari, berenang, berkayak dan berbasikal adalah sukan yang
seimbang. Kita menggunakan serentak kesemua anggota kita ketika menjalankan
aktiviti tersebut. Kebanyakan sukan lain menggunakan sebelah anggota tubuh
badan kita sahaja. Kalau main ping-pong dan badminton kita akan guna sebelah
tangan sahaja. Kalau main bola den takraw kita sepak dengan sebelah kaki
sahaja. Kalau berlari, berenang, berkayak dan berbasikal kita perlu gunakan
serentak kaki dan tangan kita. Tetapi berlari, berenang dan berkayak banyak
bezanya dengan berbasikal. Semasa berlari berbasikal dan berenang, ada orang
membuat hayunan yang tidak seimbang antara kaki dan tangan masing-masing.
Tetapi semasa berbasikal kedudukan dan pergerakan telah dikawal oleh bentuk
basikal. Semasa mengayuh hayunan kaki adalah sama antara kanan dan kiri kerana
kaki akan mengikut putaran pengayuh secara sama rata.
Akhir sekali, kita semua berhak memilih cara bersukan dan
cara menjaga kesihatan masing-masing. Mana ada tempat atau negara yang semua
orangnya menggunakan basikal lebih banyak berbanding kenderaan bermoto?
No comments:
Post a Comment